Semasa operasi enjin, setiap kali injap ekzos terbuka, kepulan gas ekzos yang panas didesak masuk ke pancarongga ekzos (exhaust manifold). Gas yang panas dan berkembang ini menghasilkan bunyi yang bising. Sesetengahnya pada frekuensi yang tinggi. Sistem ekzos melakukan beberapa fungsi. Ia perlu mengurangkan kebisingan ke tahap yang boleh diterima. Ia juga perlu menyalurkam gas yang terbuang ini dengan selamat dan cukup jauh untuk menghalang gas daripada memasuki semula ke dalam kenderaan.
Gas yang terbakar keluar daripada ruang pembakaran melalui port ekzos (exhaust port) dan melalui pancarongga ekzos (exhaust manifold). Paip yang pertama dikenali sebagai paip enjin. Ia bersambung dengan bukaan luar pancarongga yang menyalurkan gas ekzos ke mufler yang mengurangkan kebisingan ekzos. Gas ekzos seterusnya dibuang melalui paip hujung (tail pipe) yang selalunya terletak di bahagian belakang kenderaan atau sesetengahnya di bahagian atas kenderaan.